
KOTA KINABALU, 10 Mac 2025 – Celcom Timur Sabah telah menyerahkan zakat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu. Majlis ini turut disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Rombongan Celcom Timur Sabah diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Ahmad Rizal Dahli, bersama ahli Lembaga Pengarah, Encik Assan Nasip, Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Zurinah Datuk Hanafiah, Ketua Pegawai Kewangan, Encik Shaharul Niza Bin Mohamad, serta Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan, Puan Aines Ajik. Sementara itu, rombongan MUIS diketuai oleh Naib Pengarahnya, Datuk Malai Ali Bin Malai Ahmad. Turut hadir adalah Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Bin Mohd Arif.
Dalam ucapannya, Datuk Ahmad Rizal menyatakan kesyukuran kerana Celcom Timur Sabah dapat menyalurkan zakat ini untuk membantu golongan asnaf di Sabah. Beliau juga menegaskan komitmen syarikat untuk terus menyumbang pada tahun-tahun mendatang.
Selain itu, Celcom Timur Sabah turut berkongsi perkembangan positif perniagaannya. Rangkaian gentian optik syarikat kini sepanjang 10,000 km dan dijangka diperluaskan kepada 13,000 km menjelang hujung tahun. Perkembangan ini menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan berterusan dalam industri.
Celcom Timur Sabah komited untuk terus memainkan peranan dalam pembangunan negeri dan memberi impak positif kepada masyarakat.
